Wednesday, November 4, 2015

Bukan Hanya Ada Kita

 

Novel ini baharu sahaja tiba di tangan saya pada minggu lepas namun kisahnya yang unik membuatkan saya tidak melepaskan novel ini sedikit pun jika ada waktu terluang. Hasil buah tangan penulis Nazurah Aishah ini mungkin tidak disukai oleh sesiapa yang menentang poligami. Namun, jangan melatah terlebih dahulu walaupun Nazurah meletakkan sudut pandang novel ini terhadap isteri kedua dan kehidupan berpoligami yang dirahsiakan.

Sinopsis

Telah ditakdirkan bahawa aku, Medina akan menjadi isteri kedua kepada Zahrin, biarpun aku telah berikrar tidak akan sekali-kali menyakiti hati perempuan lain sebagaimana hati ibuku.

Dia bahagia yang aku pinjam tanpa izin... dan aku tidak akan menuntut lebih daripada apa yang Aiza dapat. Aku tidak akan menyusahkan Zahrin kerana aku mahu jadi ‘jiwanya yang tenang’.

Salahkah senyum ini pabila ada insan lain yang bersedih? Berdosakah bahagia ini apabila nanti ada insan lain yang menjeruk rasa?

Tidak ada perempuan yang dengan mudahnya reda menerima seorang lagi perempuan dalam hidup suaminya. Dan aku tidaklah terlalu kejam untuk meranapkan kebahagiaan orang lain.

Jika bahagia ini milik kita biarlah kita berteman sampai abadi. Jika ini bukan jalannya biarlah kita dibentangkan pilihan yang mendamaikan.

Review

Kisah BHAK ini meletakkan sudut pandang kehidupan Medina Azzahra dan Ahmad Zahrin yang berkahwin di perantauan dan tanpa pengetahuan isteri pertama Zahrin, Sharifah Ruhaiza atau Aiza. Walaupun kelihatannya seperti Medina ini seorang perampas tetapi jika diteliti kisahnya, kita akan mengubah persepsi kita dan meletakkan diri kita sebagai Medina.

Cinta Zahrin bukan hanya main-main tetapi niatnya ikhlas untuk beristerikan Medina yang ketika itu bertugas bersama-samanya di Oman. Mereka bernikah untuk mengelakkan diri masing-masing terjerumus dalam maksiat kerana jauh di perantauan. Medina pula sememangnya menentang keras isu poligami kerana kisah silam keluarganya yang terjebak dengan poligami. Bagaimana luluhnya hati mummynya apabila dimadukan oleh ayahnya secara sembunyi-sembunyi selama dua tahun. Pengalaman pahit itu membuatkan dirinya menolak untuk menyakiti hati perempuan lain. Namun, kehendak takdir tidak mampu disangkal oleh sesiapa pun. Medina yang keras menentang poligami akhirnya terjerumus sebagai isteri kedua. Gelaran yang pernah disandang oleh wanita yang dibencinya!

Kisah ini meminta kita meneliti dari sudut pandang ketiga-tiga watak. Medina, Zahrin dan Aiza. Walaupun dilihat Medina sebagai perampas, tetapi perlu diteliti juga sikap sedar diri Medina yang menyedari statusnya. Tidak pernah Medina mengganggu kehidupan Zahrin ketika suaminya itu berada bersama-sama dengan Aiza dan anak-anaknya. Medina sanggup meletakkan haknya sebagai isteri kedua jauh-jauh asalkan Aiza dapat mengecap kebahagiaan yang sepatutnya.

Zahrin pula sangat setia kepada kedua-dua isterinya biarpun dia dipaksa untuk membuat pilihan sama ada Aiza dan anak-anak atau Medina. Watak Zahrin digarap penuh berhati-hati oleh penulis. Sikapnya yang tidak dayus dan sanggup berusaha sehingga sehabis daya untuk mempertahankan kedua-dua rumah tangganya memperlihatkan kematangan tersebut.

Aiza pula diperincikan sebagai wanita bekerjaya yang pandai mengurus rumah tangga. Wataknya yang tidak mempunyai cacat celanya menarik pembaca untuk menyebelahinya. Namun, ada satu perkara yang saya kurang bersetuju dengan sikap Aiza. Dia mengawal setiap pergerakan suaminya sehingga Zahrin tidak berpeluang untuk menjalankan tanggungjawab sebagai suami kepada Medina. Benar, Aiza dikhianati namun cara dia menghamburkan kata-kata kesat terhadap Medina menunjukkan sikap buruknya sendiri di hadapan orang lain. Walaupun begitu, Aiza bukanlah digarap wataknya sebagai yang jahat dan bengis, kematian anak Medina akhirnya membuka hati Aiza untuk menerima Medina sebagai madunya dan redha dengan suratan takdir.

Kisah ini meruntun jiwa saya apabila saya meletakkan diri saya sebagai Medina. Medina yang sanggup menahan telinga mendengar cacian dan hinaan daripada Aiza dalam keadaan lemah kerana mengandung. Medina yang sanggup bercerai semata-mata tidak mahu kebahagiaan Aiza direnggut sebegitu sahaja. Namun, keluhuran cinta dan keikhlasan hati Zahrin dalam menyayangi kedua-dua isterinya akhirnya membuka mata dan hati Aiza untuk menerima Medina sebagai madunya apatah lagi Medina kehilangan Azza Massara, anaknya yang dikandung 8 bulan. Walaupun tidak diceritakan oleh penulis mengapa bayi Medina mati dalam kandungan, tetapi saya menjangkakan bahawa tekanan yang dihadapi oleh Medina sejak awal kehamilan membuatkan anaknya juga turut menerima tekanan hebat.

Apa pun, kisah ini amat hebat. Bukan semua penulis berani tampil dengan karya berani mati seperti ini. Nazurah dilihat sebagai penulis berani dan sanggup menghadapi risiko.


Tuesday, November 3, 2015

Tiga Hati Dua Cinta


Novel terbitan Jemari Seni Sdn. Bhd ini merupakan antara novel yang saya tak pernah jem untuk mengulang membacanya. Saya sudah boleh hadam dan ingat bahagian mana yang kelakar, sedih, emosi, suspens dan gembira.

Novel ini hasil tulisan Chrysalis. Pada mulanya saya sendiri tak tahu apa makna Chrysalis tu. Dengan bantuan "cik google", saya dapat tahu rupanya Chrysalis ni ialah rama-rama yang sedang mengalami proses metamorfosis. Pertama kali saya terlihat novel ni di laman web JS Publications, saya dah dapat agak, kisahnya mesti best. Bila saya baca bab awal novel ni, terbukti kisahnya meruntun pembaca untuk mengetahui penghujungnya.

Sinopsis

Dhiya dan Ken: Taiping, Perak menjadi saksi kepada permulaan kisah cinta tanpa kata. Pertemuan mereka sepuluh tahun kemudian di Melbourne, Australia menyemai kembali rasa cinta yang rupanya tidak pernah padam dan hilang daripada hati masing-masing.

Dhiya dan Fahry: Kerana janji, mereka diijabkabulkan. Meski tidak saling mengenali, mereka tetap cuba untuk mencari bahagia. Dhiya reda dengan ketentuan-Nya dan Fahry pula berharap mendapat balasan cintanya. Namun, bayangan masa lalu sentiasa mengekori titian rumah tangga mereka.

Pada Dhiya, cinta tidak perlu diluahkan, cukup sekadar dirasai. Fahry pula merasakan yang cinta pertama adalah segala-galanya, tiada yang kedua atau yang ketiga. Ken pula percaya bahawa cinta pertama itu perlu dilepaskan, dan andai kembali, itulah cinta miliknya. Antara Dhiya, Ken dan Fahry, jodoh siapakah yang sudah tertulis bersama?
 
 
Review
 
 
Kisah antara Ken, Dhiya dan Fahry. Antara Ken dan Dhiya wujud cinta pertama yang berputik sejak zaman persekolahan. Antara Fahry dan Dhiya wujud ikatan yang telah terakad dengan ijab dan qabul. Ken dan Dhiya diuji dengan pertemuan dan perpisahan. Namun, cinta pertama bukanlah mudah untuk dilupakan lebih-lebih apabila cinta pertama itu lahir dari jiwa yang ikhlas mencintai. Hanya kerana salah faham dan komunikasi yang pincang, Dhiya dan Ken terpisah sekali lagi. Fahry dan Dhiya pula disatukan atas kehendak keluarga dan perjanjian orang-orang tua mereka. Namun, benarlah kata pujangga, tulang rusuk yang hilang tidak pernah tertukar. Sejauh mana dan selama mana pun mereka diuji, akhirnya jodoh tetap milik mereka.
 
Bagi saya, kisah cinta ini sangat unik. Lebih unik apabila penulis menggarap kisah ini dengan cara yang istimewa. Permulaan kisah, mungkin kita akan tertanya-tanya siapa Fahry, Dhiya dan Ken. Penulis membuka setiap satu watak dengan baik. Penggunaan cara imbas kembali (flashback) dalam penulisan Chrysalis membuatkan kita ditarik masuk ke dalam kisah Dhiya dan Ken.
 
Saya sukakan garapan Chrysalis yang saya anggap pernah belajar di luar negara. Beliau memperincikan setiap latar tempat di Australia dengan sangat teliti. Saya pasti penulis ini pernah melanjutkan pengajian dia universiti di sana. Setiap falsafah yang dititipkan oleh Chrysalis dalam novelnya ini benar-benar bermakna.
 
Saya sukakan watak Ken yang terlalu baik, bertimbang rasa, penyayang dan pasrah dengan ketentuan. Bagaimana Ken memeluk Islam bukan kerana cinta manusia tetapi kerana cinta dan takjubnya dia kepada keindahan Islam itu sendiri. Ken memilih nama Zayd Muhammad Abdullah dan membuka ruang hatinya untuk terus mendalami Islam. Ken sanggup melepaskan cintanya terhadap Dhiya kerana tidak mahu lagi Dhiya bersedih dan yakin bahawa sekiranya telah tertulis Dhiya adalah jodoh yang ditakdirkan, pasti ia akan kembali.
 
Fahry pula seorang yang bengis dan dingin tetapi saya tidak menyalahkan wataknya digarap sebegitu. Ada segelintir kaum lelaki yang terlalu berpegang kepada prinsip hidup dan cinta sehingga tidak memberikan ruang dan peluang lain kepada diri sendiri. Itulah yang terjadi kepada Fahry sehingga dia tega melayan Dhiya dengan sangat dingin dan menafikan perasaan cintanya terhadap Dhiya. Namun, rasa cinta yang ikhlas terhadap Dhiya akhirnya membuka pintu hati Fahry untuk melepaskan Dhiya pergi dan kembali kepada Ken.
 
Dhiya...Dhiya Karmila Adnan. Seorang wanita yang dicintai oleh dua lelaki yang istimewa. Panggilan Barbie ialah panggilan rahsia yang diberikan oleh Ken dan rakan-rakannya. Watak Dhiya sangat matang dalam menghadapi segala cabaran dalam hidup dan cintanya. Bagaimana Dhiya sanggup mengejar cintanya dan cuba memperbaiki rumah tangganya. Namun, cinta yang tersemat padu untuk Ken menyebabkan Dhiya tidak mampu menyayangi suaminya apatah lagi dalam hatinya hanya untuk Tay Ken Lee @ Zayd Muhammad Abdullah.
 
***Jika diberikan bintang untuk novel ini, saya akan berikan 10/10 untuk cerita ini. Tahniah Chrysalis..Tahniah juga untuk Kak Suraya...